Followers

Thursday, December 8, 2011

KAWAL NAFSU MAKAN DI RUMAH TERBUKA.....


"SUDAH menjadi budaya masyarakat Islam hari ini sama ada orang berada atau tidak, seakan berebut untuk mengadakan rumah terbuka sepanjang Syawal mengikut kemampuan masing-masing. Selagi tidak ada unsur bercanggah dengan Islam seperti tari-menari, arak dan bercampur bukan muhrim, maka budaya ini memang ada baiknya.


Dengan rumah terbuka, masyarakat dapat bersuka ria, bermaafan, bertukar fikiran, mengukuhkan persahabatan dan merapatkan hubungan silaturahim sesama Muslim yang natijahnya akan terbentuk perpaduan ummah kukuh.

Amalan menjamu keluarga, jiran dan sahabat adalah sunat, perbuatan terpuji dan patut dikekalkan. Apa lagi jika menjamu orang yang memang sangat berharap dan memerlukannya. Inilah sifat orang pemurah yang pasti ditambah nikmat oleh Allah, memperoleh rahmat-Nya dan kejayaan hidup seperti maksud ayat suci: “Siapa yang dipelihara Allah daripada kekikiran dirinya, mereka itulah orang yang beruntung” (Al-Hasyr: 9)

Orang pemurah selalu menghulurkan sedekah sama ada ketika senang atau susah melambangkan akhlak terpuji dan sangat dicintai Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah. Dia mencintai kemurahan dan mencintai akhlak mulia serta membenci akhlak yang buruk.” (Hadis riwayat Muttafaq ‘alaih)

Seperti sedia maklum, di rumah terbuka terhidang pelbagai juadah yang disediakan tuan rumah. Jika tiada kawalan nafsu, sudah pasti makanan yang tersaji ingin dimakan semuanya.

Namun, Islam menunjukkan batas yang dibenarkan syariat iaitu makan sekadar diperlukan. Doktor berpendapat, makan secara tidak terkawal lebih-lebih lagi pada musim perayaan amat berbahaya.

Adab makan yang digambarkan Rasulullah SAW amat sederhana dan sesuai dengan fitrah manusia. Kesederhanaan ini semata-mata untuk menjamin kesihatan tubuh badan dan perkembangan rohani agar terus ingat dan taat kepada Allah. Lantaran timbulnya pelbagai jenis penyakit berpunca daripada makanan yang dimakan.

Baginda menegaskan: “Perut besar (makan banyak) adalah rumah segala penyakit, sedangkan penjagaan adalah sebaik-baik ubat.”

Demi terjamin kesihatan maka Rasulullah SAW menyarankan setiap mukmin mematuhi ketetapan ini:

“Seburuk-buruk bekas yang dipenuhkan anak Adam ialah perutnya. Cukuplah bagi anak Adam dengan beberapa suapan yang boleh menegakkan tulang belakangnya. Jika tidak mungkin, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk nafasnya” (Hadis Riwayat At-tarmizi)]

Apabila tidak ditepati, orang berkenaan makan gelojoh, tidak menepati cara orang Islam makan, tunduk kepada nafsu dan mengikut jejak langkah syaitan. Kita yang dijemput ke rumah terbuka menjadi kewajipan untuk memenuhi undangan berkenaan kerana tuan rumah bertungkus-lumus menyediakan pelbagai juadah.

Namun sebagai mukmin yang tinggi nilai akhlaknya, soal makan perlu dikawal seperti digariskan dalam agama. Selain dapat bergembira, kita juga mendapat kesihatan yang membahagiakan bagi membolehkan kita hidup dengan sempurna.

No comments:

Post a Comment